Bertawakkal Tanpa Mengingkari Sunnatullah. ~ Open Tahfiz Centre

Jumaat, 12 April 2013

Bertawakkal Tanpa Mengingkari Sunnatullah.


Firman Allah Taala :
"Maka Apabila Kamu telah bertekad maka bertawakkallah kamu kepada Allah" (ali Imran)

Tawakkal merupakan sebuah manifestasi taqwa bagi seseorang hamba kepada penciptanya. Seseorang hamba akan sentiasa meyakini diri mereka adalah 'hina' dan sering berhajat kepada Tuhannya dalam segala bentuk urusan, kudrat dan keadaan. Ibnu Rejab Menyebut : Tawakal adalah penyandaran hati pada Allah untuk meraih berbagai kemaslahatan dan menghilangkan bahaya dalam urusan dunia mahupun akhirat, menyerahkan semua urusan kepadaNya serta meyakini dengan sebenar-benarnya bahawa tidak ada yang memberi, menghalangi, mendatangkan bahaya, dan mendatangkan manfaat kecuali Allah semata.”

KONSEP BERTAWAKKAL

Meletakkan segala urusan kepada Allah adalah sifat bagi seseorang mukmin. Nabi Muhammad mengajar kita supaya sentiasa mengharapkan bantuan dan rahmat Allah. Di dalam dzikir yang nabi ajarkan kepada anaknya Fatimah R.Anha, ( bawah ) mempunyai nilai tawakkal yang cukup tinggi dengan meletakkan nasib ke atas Allah Azza Wajalla dengan sepenuhnya.

Pesanan Rasulullah kepada Puterinya : "Bacalah Dzikir ini pada waktu pagi dan petang"
Dengan berdoa seperti ini, bukanlah bermakna Allah akan menjadikan segala urusan menjadi baik tanpa usaha kita untuk mencapai kebaikan tersebut. Ini menunjukkan Konsep tawakkal bukanlah hanya terletak selepas berusaha, malah bertawakkal hendaklah berada sebelum sesuatu perkara dilaksanakan, sedang melaksanakan, atau pun setelah selesai melaksanakannya dengan  mengharap agar setiap urusan kita tidak ditinggalkan oleh Allah walaupun sekelip mata.

KEJAYAAN PERLU DIBAYAR DENGAN USAHA

Usaha yang diiringi dengan perancangan dan persiapan yang rapi, pasti akan menemui kejayaan. Setiap kejayaan pula mesti menemui pelbagai ujian dan pengorbanan. Tiada jalan mudah untuk memperoleh kejayaan walaupun dengan meletakkan harapan tinggi kepada Allah S.W.T.  Malah Nabi Muhammad S.A.W yang merupakan utusan Allah, juga menempuhi pelbagai dugaan dan cabaran dalam usahanya mencapai kemenangan islam. Melihat kepada perancangan yang cukup cantik di dalam hijrah Nabi, baginda berjaya melepaskan diri daripada buruan orang musyrikin tanpa mempunyai ilmu kebal ataupun mukjizat yang boleh menghilangkan dirinya, adapun kisah nabi membaca ayat 9 surah yasin untuk melepaskan diri daripada  musyrikin yang mengepung rumahnya merupakan suatu fakta yang tidak menepati sunnah penceritaan daripada sahabat. Perancangan yang tersusun di samping pengharapan kepada Allah  membuatkan baginda begitu yakin untuk meneruskan hijrah. Ketika melihat Abu Bakar R.A ketakutan di dalam gua Thur daripada ditemui oleh musyrikin quraisy, nabi berpesan "JANGANLAH ENGKAU BERDUKA CITA, SESUNGGUHNYA ALLAH BERSAMA KITA"  dan kisah mereka dirakamkan di dalam surah At-taubah. : 40

   
40. kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka Sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, Iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di Dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: "JANGANLAH ENGKAU BERDUKA CITA, SESUNGGUHNYA ALLAH BERSAMA KITA". maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya Dengan bantuan tentera (malaikat) Yang kamu tidak melihatnya. dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah Dengan sehina-hinanya), dan kalimah Allah (Islam) ialah Yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.


Demikian juga perjuangan nabi dalam menyebarkan dakwah islam. Peperangan uhud, memperlihatkan kepada kita kecederaan teruk berlaku kepada para sahabat akibat ingkar terhadap perancangan yang telah di susun. Nabi juga cedera apabila di baling batu dan najis unta. ketika di taif. Tidaklah berubah batu dan najis tersebut menjadi tamar ataupun lain-lain.

AYAT AL-QURAN BUKAN JAMPI 

Kepercayaan terhadap keberkatan ayat al-quran tidak dinafikan, namun kepercayaan yang dicipta-cipta  yang tidak pernah diceritakan oleh para sahabat dan sejarah islam merupakan sesuatu yang bertentangan dengan sunnah.

 Terdapat suatu soalan yang ditanya kepada penulis mengenai tangkal pelaris yang dibacakan  ayat al-Quran untuk membuatkan sebuah perniagaan menjadi laris. Ini merupakan kesilapan yang besar kerana kepercayaan seperti ini tidak pernah dilakukan oleh Nabi dan para sahabat. Bukan kesalahan pada ayat al-Quran tetapi salah pada kepercayaannya. Hal perihal kelebihan al-quran hanyalah diketahui oleh Allah yang hanya diceritakan kepada utusanya. Usaha Abdur-Rahman Bin Au'f dalam berniaga menyebabkan beliau menjadi hebat dalam ilmu tersebut. Beliau dikatakan boleh menukar batu menjadi emas kerana hebat dalam ilmu perniagaan dengan usaha dan pengalamannya sendiri.

Demikian juga Air Yang Dibacakan Ayat al-Quran. Mewujudkan kepercayaan dengan membaca 30 juz al-Quran pada air dan diminum dapat menjadi punca seseorang mendapat hidayah ataupun cemerlang dalam pelajaran adalah sesuatu kepercayaan yang salah. Hal ini tidak dilakukan sama sekali oleh Nabi S.A.W. sepanjang sirah baginda. Telaga air zam-zam tidak dibacakan padanya ayat alquran supaya seluruh rakyat quraisy mendapat hidayah. Bahkan Abu Talib yang merupakan insan paling Nabi sayangi juga tidak dapat memperoleh hidayah. Ketika Nabi memohon agar Allah memberi hidayah kepada beliau, Allah menjawab dengan jawapan yang tegas : 


56. Sesungguhnya Engkau (Wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa Yang Engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah Yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa Yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang-orang Yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam).



Namun begitu, kepercayaan terhadap menyembuhkan penyakit dengan menggunakan kaedah rawatan al-quran pernah diajar oleh nabi dan air zam-zam merupakan penawar bagi pelbagai penyakit. 

Oleh yang demikian, segala kejayaan bermula dengan azam dan usaha serta pengharapan daripada Allah S.W.T..  Tawakkal hendaklah selari dengan ketakwaan agar rahmatNYA  mengiringi setiap usaha yang kita lakukan. Semoga kita diberi petunjuk oleh-NYA. Walllahua'lam.


Comments
0 Comments

0 comments :

Catat Ulasan