Artikel dari : Ustaz Hasrizal Abd Jamil
Saifulislam.com
Saifulislam.com
Habib Bourguiba
“Kenapa dia berkata begitu? Dia tak faham al-Quran dan Sunnah ke?” seorang hadirin ceramah mengkritik.
“Apa dia tidak baca sirah? Buta sejarah?” tambah seorang lagi.
Semua naik angin.
Marah dengan Habib Bourguiba.
Beliau adalah Presiden Tunisia yang pertama, memerintah dari tahun 1957 hingga 1987. Bourguiba selalu disinonimkan dengan Mustafa Kemal Ataturk kerana keghairahannya kepada pembaratan yang disamakan dengan pemodenan.
Isunya ialah pada tahun 1961. Habib Bourguiba telah mengeluarkan arahan tidak membenarkan penjawat awam di negaranya, Tunisia, berpuasa di bulan Ramadhan. Bagi menegaskan arahan itu, beliau dan anggota kabinetnya telah muncul secara langsung di kaca televisyen pada tengah hari bulan Ramadhan dan mereka makan beramai-ramai.
Alasan Habib Bourguiba senang sahaja, berpuasa mengurangkan produktiviti negara!
SINIS AGAMA
Pandangan Habib Bourguiba itu, jika mahu dikategorikan, ia termasuk di dalam apa yang dinamakan sebagai Religious Skepticism, walaupun ia bukanlah sebuah Kategori.
Pemikiran skeptis atau sinis terhadap agama ini berperingkat.
Ada sinis yang merujuk kepada beberapa aspek di dalam ajaran agama. Seseorang itu mungkin sinis dengan hukum membasuh jilatan anjing dengan tanah. Atau hukum menutup aurat. Mungkin juga soal harta pusaka yang dibahagikan dua bahagian kepada pewaris yang lelaki dan satu bahagian kepada pewaris yang perempuan.
Ada juga pemikiran skeptis, ditujukan kepada institusi agama. Misalnya, anti ‘orang masjid’, mungkin juga kepada pihak berkuasa agama seperti JAWI, JAIS, JAKIM dan lain-lain. Tidak lupa dengan alergi mereka kepada parti politik Islam, atau badan-badan yang menjadikan Islam sebagai identiti organisasi mereka.
Peringkat ketiga pula, ialah pemikiran skeptis terhadap keseluruhan ajaran agama. Mereka tidak semestinya anti Tuhan atau atheist namun mereka sinis terhadap semua agama yang dianggap sebagai doktrin yang penuh kecurigaan.
Walau apa pun bentuk Religious Skepticism yang muncul, kesemuanya adalah tindak balas (response). Apabila diertikan sebagai tindak balas, tentu ada sesuatu yang berlaku sebagai reaksi kepada kejadian tersebut. Ia bukan asal, tetapi ia adalah tindak balas kepada sesuatu yang telah mengambil tempat terlebih dahulu.
YASMIN AHMAD DALAM KENANGAN
Yasmin Ahmad (1958 – 2009)
kredit foto: The Guardian
kredit foto: The Guardian
Terkini (2010 – semasa artikel ini ditulis), ASTRO mendedikasikan saluran 110 sebagai tribute kepada Allahyarham Yasmin Ahmad dengan menyiarkan koleksi filem terbitan atau arahan beliau seperti Sepet dan Gubra.
Jika kita menonton dengan teliti sebarisan filemnya bermula daripada Rabun, kepada Sepet, Gubra, Mukhsin, Muallaf dan terkiniTalentime, ada sesuatu yang konsisten di dalam semua sentuhan karya Yasmin Ahmad. Selain sentuhan kreatif yang unik, filem-filem Yasmin Ahmad konsisten dengan tema atau elemen Religious Skepticism. Penonjolan babak imam yang mesra dengan jiran-jirannya yang pelacur di dalam filem Gubra, hubungan cinta antara seorang gadis Melayu dengan anak muda Cina, malah anjing yang dibelai mesra oleh bilal masjid, semua itu adalah simbol dalam menterjemahkan apa yang dinamakan sebagai pemikiran skeptis terhadap agama.
Oleh kerana Religious Skepticism semakin berleluasa mendominasi pemikiran masyarakat khususnya di dalam kelompok urban, maka hasil karya Yasmin Ahmad semacam menjadi jurucakap untuk meluahkan pandangan ini yang sejak sekian lama tidak mudah untuk diketengahkan ke perhatian massa. Yasmin Ahmad menerima penghormatan dan pengiktirafan yang sungguh luar biasa.
Jika kita bersetuju bahawa Religious Skepticism itu ialah satu bentuk tindak balas, maka datang soalan kedua; pemikiran Religious Skepticism yang ada pada Yasmin Ahmad datangnya sebagai tindak balas kepada apa? Apakah pengalaman yang telah ditempuh oleh graduan Ijazah Psikologi daripada England ini?
Saya tidak mempunyai sebarang penjelasan kerana saya tidak mengenali beliau secara peribadi. Namun mungkin beliau menempuh episod hidup yang penuh dengan peristiwa berbentuk penilaian, hukuman, malah mungkin sindiran dan cemuhan yang menggalakkan skepticism itu semakin meruncing.
Jika kita tidak berpuas hati dengan mesej-mesej Yasmin Ahmad, mari berjiwa besar untuk berani menyoal diri. Adakah Religious Skepticism itu bulat-bulat ditujukan ke atas beliau, atau ada sesuatu yang mendominasi kecenderungan masyarakat kita hingga menggalakkan pemikiran seperti itu? Sebahagian jari yang menunding, mungkin perlu balik kepada diri.
SISTERS IN ISLAM
Satu lagi topik yang berkait rapat dengan Religious Skepticism ialah sebuah pertubuhan yang dikenali sebagai Sisters in Islam (SIS). Pertubuhan ini mempunyai peranan yang signifikan dalam memperjuangan beberapa aspek bersangkutan hal kebajikan kaum wanita Muslim dan ia tidak boleh dinafikan. Kelancaran proses mahkamah yang mesti diperkemaskan agar wanita Muslim tidak menderita digantung tidak bertali, adalah di antara subjek yang banyak disentuh oleh sukarelawan SIS yang amat komited.
Namun, ada sesuatu yang juga konsisten dalam pemikiran dan ucapan tokoh-tokoh utamanya. Elemen yang saya maksudkan itu ialah Religious Skepticism. Keketaraannya lebih terasa dalam aspek sinis mereka kepada institusi agama yang dilihat tidak bertindak wajar dalam hal kesamarataan, keadilan, kebebasan dan kemuliaan kaum wanita Muslim di negara kita.
Mendesak agar al-Quran ditafsir semula, bukanlah suatu isu baru. Tetapi mendesaknya dengan alasan ahli-ahli Tafsir dahulu semuanya lelaki, lalu hukum yang keluar bersifat male chauvanist, adalah suatu manifestasi kepada Religious Skepticism. Ramai sukarelawan yang terbabit di dalam gerakan-gerakan pembelaan wanita seperti Sisters in Islam, membawa mesej yang boleh digunapakai untuk memperbaiki banyak aspek perlaksanaan Islam, tetapi mencetus banyak kontroversi kerana ia diperjuangkan secara sinis atau skeptis.
Sedikit sebanyak pemikiran yang bersarang dengan prejudis kepada lelaki dan institusi agama ini mungkin berpunca daripada pengalaman diri sukarelawan tersebut berkaitan dengan lelaki.
- Menyaksikan bapa mendera ibu yang diperhambakan dalam sebuah perkahwinan.
- Melihat penindasan yang berlaku ke atas janda yang tergantung hidup oleh suami yang enggan mentalakkannya, tetapi terus menerus mendera emosi dan mungkin fizikal isteri.
- Menjadi mangsa kejahatan lelaki.
- Atau terus menerus dihentam golongan yang tidak bersetuju, kebetulannya mereka itu adalah ustaz, mufti, ulama, yang semuanya adalah lelaki.
Religious Skepticism adalah reaksi. Ada sesuatu yang berlaku sebelum pemikiran skeptis itu menguasai. Jika kita tidak berpuas hati dengan mesej-mesej Sisters in Islam, mari berjiwa besar untuk berani menyoal diri. Adakah Religious Skepticism itu bulat-bulat dibebankan ke atas mereka, atau ada sesuatu yang mendominasi kecenderungan masyarakat kita hingga menggalakkan pemikiran seperti itu? Sebahagian jari yang menunding, mungkin perlu balik kepada diri.
Sesuatu yang perlu difikirkan.
BENJAMIN STEPHENt
Anak muda ini adalah bekas pelajar Sekolah Izzuddin Shah. Saya adalah senior beliau, produk sistem pendidikan dan institusi pendidikan yang sama. Biar pun pendidikan kami serupa, pengalaman peribadi masing-masing berbeza.
Bukan sedikit ilmu agamanya.
Tetapi hari ini, anak Perak yang dahulunya dikenali sebagai Badrul Hisyam, telah murtad dan menjadi pendakyah Kristian.
Apabila saya mendengar ceramah-ceramah yang beliau sampaikan di gereja dan di khalayak Kristian, saya mengesan sesuatu yang amat konsisten di dalam ceramah beliau. Ceramahnya tidak ilmiah dan tidak membantu Kristian memahami Bible. Sebaliknya, hampir keseluruhan ceramah beliau berbahasa skeptisdan sentiasa sinis serta menyindir serba serbi yang berkaitan dengan Islam dan Muslim. Malah ibu bapanya sendiri turut disindir dan diejek.
Tatkala bertanyakan kepada pelajar-pelajar sekolah beliau yang mengenalinya, anak muda ini yang berpewatakan lembut di sekolah sering diejek, dikutuk atau dalam bahasa rasminya dibuli, di sepanjang pengalamannya di sekolah. Pengalaman seperti ini sangat berpotensi untuk membentuk satu pola pemikiran memberontak yang luar biasa.
Akhirnya Badrul Hisyam dengan sinis dan skeptis beliau terhadap semua yang dialaminya tentang Islam dan Muslim, beliau murtad. Sesuatu yang mungkin tidak disangka oleh senior yang pernah membulinya!
Semasa mendengar ceramah beliau, saya terfikir, adakah Benjamin Stephen ini mengkritik Islam, atau mengkritik Sekolah Menengah Agamanya?
Jika kita tidak berpuas hati dengan mesej-mesej Benjamin Stephen, mari berjiwa besar untuk berani menyoal diri. Adakah Religious Skepticism yang luar biasa itu ditujukan segala-galanya ke atas beliau, atau ada sesuatu yang mendominasi kecenderungan masyarakat kita hingga menggalakkan pemikiran seperti itu? Sebahagian jari yang menunding, mungkin perlu balik kepada diri.
KASSIM AHMAD
Tidak dilupakan, tatkala saya membaca buku mutakhir Kassim Ahmad bertajuk MENCARI JALAN PULANG, saya melihat adanya unsur yang sama di sebalik pemikiran beliau. Sama ada ia berkaitan dengan Parti Sosialis pimpinannya, atau pun pemikiran yang dilabel sebagai anti Hadith.
Jika didasarkan kepada karya beliau ini, Kassim Ahmad tidak sama sekali menafikan kenabian Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Tetapi beliau mengkritik sistem ilmu Hadith khususnya berkaitan dengan kredibiliti perawinya.
Di manakah kritikan itu bermula?
Berasal daripada kekecewaan Kassim Ahmad terhadap pemikiran dan sikap orang-orang agama yang ditemui di usia mudanya, ia berkembang kepada mempertikaikan institusi Ulama’ dan seterusnya hingga kepada pada perawi yang kesahihan Hadith banyak bergantung kepada kredibiliti perawi-perawi ini.
Ya.
Religious Skepticism yang ringan-ringan boleh berkembang menjadi satu pola pemikiran yang amat rumit dan membingungkan. Di usia 80 tahun, semasa artikel ini saya semak semula, pemikiran skeptis Kassim Ahmad masih belum reda. Saya kira, trend beragama sekarang yang semakin romantis bersama wacana ilmiah yang semakin rencam dan kepimpinan negara yang mundur nilai intelektualnya, Kassim Ahmad lebih terpanggil untuk bersuara kembali.
Walaupun kritikannya banyak tercicir asas-asas penting pemikiran kritis dalam beragama, termasuk soal memahami pengistilahan-pengistilahan bahasa Arab. Kecacatan yang sudah ditegur datuk nenek zaman berzaman, bahawa kail yang panjang sejengkal, jangan lautan hendak diduga. Pemikiran skeptis seperti ini tidak lebih daripada sebuah keraguan yang berstruktur (structured doubt) yang berkosmetik jargon tinggi.
Namun dalam konteks muhasabah pendakwah, permasalahan ini memerlukan arah pandu fikir yang sedikit berbeza. Jika kita tidak berpuas hati dengan mesej-mesej Kassim Ahmad, mari berjiwa besar untuk berani menyoal diri. Adakah Religious Skepticism itu bulat-bulat ditujukan ke atas beliau, atau ada sesuatu yang mendominasi kecenderungan masyarakat kita hingga menggalakkan pemikiran seperti itu? Sebahagian jari yang menunding, mungkin perlu balik kepada diri.
PUNCA PEMIKIRAN SKEPTIS TERHADAP AGAMA
Tidak dinafikan, manusia akan membentuk set of values mereka hasil pengalaman hidup dan pendedahan yang dialami. Kesan daripada pelbagai kejadian yang ditempuh oleh setiap kita dalam kehidupan, banyak mempengaruhi pertimbangan kita dalam menilai apa yang baik dan apa yang buruk.
Oleh kerana itu, Islam datang untuk meluruskan nilai ini agar manusia tidak terhoyong hayang di sepanjang tempat dan zaman dalam menentukan apa yang baik serta apa yang buruk tentang hidup ini semata-mata berbekalkan pengalaman diri. Jalan yang lurus (Sirat Mustaqim), diungkapkan berkali-kali dalam sehari semasa kita bersolat kerana jalan yang lurus itulah penentu kepada kedudukan masing-masing. Sejauh mana kita selari dengannya, atau sudah sejauh manakah kita terpesong dari landasan asal.
Namun, manusia akan mengalami krisis terhadap agama apabila mereka berdepan dengan suasana realiti yang terlalu jauh daripada apa yang dilakarkan oleh idea dan nas. Penghormatan adalah sesuatu yang terhasil daripada kualiti. Tatkala pendukung agama yang mewakili suara agama mengalami kemerosotan kualiti, rasa hormat itu mula terhakis. Tatkala hakisan itu berlaku, agamawan dan institusi agama terus kekal dengan grandiose attitude yang menambahkan rasa meluat serta benci kelompok yang tidak gentar dengan mereka.
Sebagaimana gereja hilang tempat daripada masyarakat akibat grandiose attitude itu, ia juga sedikit demi sedikit menimpa umat Islam. Rasa jelek dan meluat sekelompok masyarakat melihat sesetengah agamawan yang sombong dalam mempertahankan hujah-hujah ‘tidak masuk akal’ mereka, menambahkan kerumitan kepada berleluasanya pemikiran skeptis terhadap agama ini.
Misalnya, temuramah Gala TV di Astro 110 bersama Yasmin Ahmad, mendatangkan contoh yang boleh diberi perhatian.
Ketika filem Gubra dikritik kerana adegan bilal masjid menyentuh anjing, Yasmin Ahmad menegaskan bahawa sesuatu yang amat menghairankan apabila orang-orang agama ini yang kelihatannya berpelajaran tinggi di satu sudut, hakikatnya mereka tidak arif tentang ilmu Biologi (yang sepatutnya dikuasai oleh umat Islam atas galakan agama kita sendiri, kata beliau).
“Anjing itu kalau najis pun, menyentuhnya tidak haram!” kata Yasmin.
“Orang agama tidak faham Biologi. Jika mereka faham Biologi, mereka akan tahu bahawa anjing merembeskan peluhnya melalui lidah dan hidung…” tegas beliau lagi.
Yasmin mungkin terkesan dengan hukuman-hukuman yang dikenakan ke atas dirinya oleh ustaz-ustaz atau tokoh agama yang ‘tidak faham Biologi’. Sifat menghukum, dan kejahilan terhadap ilmu sokongan seperti Biologi, menjadikan manusia semakin skeptis terhadap agama. Suatu kemalangan.
Namun, andaikata Yasmin Ahmad mengkaji lagi, beliau mungkin akan memperbaiki pandangannya tentang hal ini. Soal anjing merembeskan peluh daripada lidah itulah sebenarnya asas hukuman samak jilatan anjing yang terdapat di dalam Mazhab Syafie. Oleh kerana anjing sentiasa merembeskan peluh dari lidah, maka kebarangkalian najis untuk berada di lidahnya amat kecil. Justeru, jika lidah yang ‘bersih’ itu pun bekas jilatannya perlu disamak, maka lebih utamalah untuk sentuhan bahagian-bahagian lain pada seekor anjing disamak. Malah, anjing yang tidak disebut sebagai najis di dalam al-Quran itu pun, persentuhannya perlu disamak, maka babi yang diisytiharkan najis oleh al-Quran itu, lebih utamalah untuk ia disamak.
Dalam kes ini, Religious Skepticism mungkin terhasil daripada kombinasi agamawan yang tidak faham Biologi dan pengarah filem yang tidak habis mengkaji agama.
Pandangan skeptis terhadap agama banyak didorong oleh kegagalan agamawan mempertahankan hujah agama dalam bentuk yang seiring dengan pemikiran massa yang berubah dari satu ketika ke satu ketika. Hujah yang tidak berhasil menimbulkan keyakinan, atau menolak terus proses hujah menghujah dan menggunakan kuasa untuk menundukkan soalan atau kritikan (budaya membunuh soalan), menyuburkan lagi pemikiran skeptis orang ramai terhadap agama. Gereja sudah berpengalaman dalam krisis ini, mudah-mudahan kita Umat Islam mempelajari sesuatu mengenainya.
Apatah lagi, ada agamawan terbabit dalam salah laku yang bertentangan dengan imej yang sepatutnya dipertahankan. Perbuatan mendera isteri oleh ustaz atau oleh bukan ustaz tetapi atas nama agama, memutarbelikan hujah untuk memenangkan diri (misalnya berkata, Allah melaknat isteri yang menolak kehendak suami, tetapi tiada hadith yang menyebut Allah melaknat suami yang menolak kehendak isteri!), pecah amanah, pengotor pada pakaian dan penampilan diri, menerukkan lagi penyebaran gejala Religious Skepticism ini.
Dalam masa yang sama, pendekatan menghukum dan menghukum terus menerus digunakan semasa kredibiliti agamawan atau institusi agamawan berada di dalam krisis.
Sesungguhnya gejala ini boleh diperbaiki jika pendakwah dan agamawan mampu untuk mengusahakan beberapa perubahan. Sikap menyindir, menghukum, menyerang, tanpa kesimbangan dialog, diskusi dan lain-lain bentuk engagement, tidak banyak membantu.
PENDAKWAH MAMPU MENGUSAHAKAN PERUBAHAN
Jika perubahan itu mesti bermula daripada diri, maka usahakanlah perubahan pada diri kita, selaku pendakwah untuk lebih bertenang dan teliti dalam menghalusi dakyah-dakyah pemikiran skeptis terhadap agama ini. Andai mereka tidak mahu berubah, lancang mengkritik tetapi kurang mahu mengkaji dan mendalami secara adil, itu terserah kepada mereka. Religious Skepticism ialah penyakit. Lalu penganutnya harus dilihat sebagai orang sakit.
Bagi pendakwah yang yakin akan kesihatan pemikiran dan kepercayaannya, merekalah yang selayaknya untuk mengusahakan perubahan. Kita ubah cara kita memberikan penyelesaian, cara kita menguruskan cabaran, kerana kita mampu berbuat demikian. Jangan terlalu gelojoh menyerang, menentang, menghukum, ketika kita sendiri bukanlah saingan yang dihormati lawan (jika boleh disebut demikian).
Pendakwah yang hebat mampu mengakui kelemahan dan memperbaikinya. Andai golongan yang skeptis terhadap agama mahu terus ego dalam mempertahankan pandangan mereka, itu urusan mereka. Namun Islam yang dijulang pendakwah, menjadikan kita bersedia untuk mengambil sebahagian tanggungjawab memperbaiki keadaan. Memperbaiki cara kita berdakwah, mempunyai banyak faedah yang boleh meredakan penyakit minda ini.
SISI LAIN PANDANGAN HABIB BOURGUIBA
Berbalik kepada persoalan Habib Bourguiba, harus kita perhatikan sedikit.
Memang al-Quran berkata sebaliknya, Sunnah juga menegaskan sebaliknya. Malah Sejarah juga membuktikan sebaliknya. Namun Habib Bourguiba mungkin tidak memandang itu semua. Apa yang dijadikan asas pandangannya ialah pada apa yang ada di depan mata.
Benarkah umat Islam lebih produktif di bulan Ramadhan?
Tinggalkan Tunisia dan mari lihat keadaan kita di Malaysia.
Pada bulan Ramadhan, kita tidak boleh bermesyuarat dengan baik. Semua orang kebingungan dan lesu tanpa mampu memberikan idea yang bernas. Jika ada projek besar yang mahu dibuat, semua meminta agar ia dibincangkan selepas Raya! Malah jika di bulan-bulan lain kita habis kerja jam 5 petang, di bulan Ramadhan kita tinggalkan pejabat jam 4 petang. Semuanya gara-gara Bazar Ramadhan!
Maka, tidakkah itu semua bukti bahawa kita tidak produktif di bulan Ramadhan?
Silapnya pada Habib Bourghuiba ialah kerana beliau menyalahkan puasa sebagai puncanya, dan bukan manusia.
ANALOGI
Jika anda ternampak sebuah kereta Mercedez ‘mata belalang’ tersadai di tepi jalan kerana terlanggar tiang lampu, apakah anda akan menyalahkan Mercedez?
“Bodoh betullah syarikat Mercedez ini. Bagaimana mereka boleh buat kereta yang langgar tiang lampu!” kritik seorang yang bermazhab Habib Bourguiba.
Mustahil.
Tiada siapa yang akan menyalahkan Mercedez.
Semua orang akan menyalahkan pemandu Mercedez itu.
“Macam manalah dia memandu. Sudah diberi Mercedez pun, masih terbabas melanggar tiang lampu!” kata-kata yang lebih lurus dengan kebenaran.
Silapnya Habib Bourguiba ialah, dia itu menyalahkan puasa dan Ramadhan sebagai punca rakyatnya tidak produktif. Suatu peringkat Religious Skepticism yang kritikal.
Justeru, jika kita tidak bersetuju dengan polisi Habib Bourguiba, maka buktikanlah dengan perbuatan. Buktikan pada bulan Ramadhan , kita produktif, dinamik, aktif bekerja, dan tidak terjejas untuk buat apa sahaja. Jika kita pulang awal kerana mahu menyediakan hidangan berbuka puasa, kerja kita pada waktu pejabat harus jadi lebih kompak dan intensif, bukan lunyai atas nama puasa dan Ramadhan.
Tetapi, jika kita bermati-matian memaki hamun Habib Bourguiba kerana tidak bersetuju dengannya, tetapi kita tidak bermaya, tidak produktif atau gagal untuk kekal normal di bulan Ramadhan, maka segala ayat al-Quran dan al-Hadith yang digunakan, serta fakta Sejarah yang dibentang, menjadi retorik serta menyuburkan lagi Religious Skepticism!
p/s: Baca juga IRSHAD MANJI: KALAULAH BOLEH BELIAU KUABAIKAN
Sumber :
http://saifulislam.com/2014/02/pemikiran-skeptis-dalam-beragama
http://saifulislam.com/2014/02/pemikiran-skeptis-dalam-beragama
Penulis:
Hasrizal @ www.saifulislam.com
Hasrizal @ www.saifulislam.com