Oktober 2014 ~ Open Tahfiz Centre

IBADAH KORBAN DAN AQIQAH 1435/2014

Ayuh sertai program korban dan aqiqah di negara yang minoriti muslim.

TAWAKKAL

Bertawakallah Tanpa Ingkari Sunnnatullah

Pengajian Fleksibel

Antara Kemudahan yang disediakan di Open Tahfiz Centre, Belajar Secara Personal Pada Bila-bila masa.

KEMANISAN IMAN

Indahnya Menperoleh Kemanisan Iman

Ahad, 19 Oktober 2014

Dajjal & Akhir Zaman

HARI ini ramai yang gemar berkongsi khabar angin mengenai sesuatu yang tidak pasti dan sahih. Terutama khabar angin mengenai dajjal.

Ada sahaja khabar angin perihal dajjal dalam versi yang pelbagai. Ada yang mengandaikan dajjal itu seorang manusia, sesebuah negara, atau sebuah lambang adalah dajjal. Ada juga yang mengatakan dajjal akan dilahirkan, telah dilahirkan mahupun sedang dilahirkan.

Persoalannya, adakah hal ini benar?. Siapa dajjal dan bagaimana dajjal yang sebenarnya. Maka kembalilah kita kepada rujukan yang sahih tanpa was-was, iaitu al-Quran dan Sunnah.


Peringatan Nabi SAW

Diriwayatkan oleh Abu Salamah, beliau berkata: "Aku pernah mendengar daripada Abu Hurairah RA berkata: "Rasulullah SAW bersabda: "Mahukah kamu aku bercerita mengenai dajjal sebagai suatu perbicaraan yang belum pernah seorang nabi menceritakan kepada kaumnya. Sesungguhnya dia itu buta sebelah matanya dan dia akan datang membawa seperti syurga dan neraka. Maka apa yang dikatakan syurga, itulah neraka. Dan sesungguhnya aku memberi peringatan kepada kamu dengannya, sebagaimana Nabi Nuh AS memperingati kaumnya. (Riwayat Muslim)

Diriwayatkan daripada Aisyah, Nabi SAW selalu berdoa dalam sembahyang Baginda yang bermaksud: "Ya ALLAH, sesungguhnya aku berlindung dengan-Mu daripada seksa kubur dan aku berlindung dengan-Mu daripada dugaan dajjal dan aku berlindung daripada ujian hidup dan ujian mati. Ya ALLAH, aku berlindung dengan-Mu daripada hutang dan dosa." (Riwayat al-Jama’ah kecuali al-Bukhari)
Dajjal adalah makhluk

Dajjal yang Nabi Muhammad SAW suruh kita berdoa minta perlindungan tersebut adalah satu makhluk yang berzat dan berjisim seperti manusia. Yang akan keluar pada akhir zaman dan diberikan kemampuan kepadanya untuk beberapa perkara luar biasa.

Antaranya menghidupkan orang mati yang sudah dibunuhnya, dimilikinya kehidupan dengan segala kemegahannya di dunia, kemakmuran, syurga, neraka, diperintahkan turunnya hujan, diperintahkan untuk tumbuhnya subur, maka tumbuhlah bumi dengan tumbuh-tumbuhan.

Jelaslah apa yang dinyatakan dalam al-Quran dan hadis, dajjal itu adalah makhluk seperti manusia, berbadan besar, pendek, berkaki bengkok,  buta sebelah matanya, mata kirinya tidak nampak jelas dan yang sebelah kanannya kelihatan jelas seperti buah angur yang terapung, antara kedua matanya tertulis huruf  “kaf” “fa” “ro”, berambut lebat dan kerinting.

Akan tetapi semua itu terjadi kerana ALLAH. Kesudahannya, lelaki yang bernama dajjal itu ditewaskan dengan turunnya Nabi Isa AS lalu membunuhnya.


Kisah Tamim Ad-Dari & dajjal

Kisah seorang sahabat Nabi Muhammad SAW yang bertemu dajjal ketika sesat dalam pelayaran di lautan selama sebulan bersama 30 orang daripada Bani Lakhm dan Bani Judzam, lalu berlabuh di sebuah pulau.

Di pulau tersebut mereka didatangi seekor binatang yang banyak bulunya sehinggakan mereka sendiri tidak dapat membezakan antara bahagian depan dan belakang. Binatang tersebut mengatakan dia adalah mata-mata (jasasah).

Lalu haiwan itu berkata: "Wahai kaum pergilah kalian kepada orang yang berada dalam gua (dajjal), kerana dia merindukan berita dan kamu."

Tamim Ad-Dari dan sahabatnya lalu berangkat dan masuk ke gua. Di dalamnya ada seorang manusia yang paling besar badannya dan diikat dengan rantai yang kuat. Kedua tangan dan lehernya disatukan dan diikat.

Lalu mereka bertanya: "Makhluk apakah kamu ini" dan dajjal menjawab: "Kamu mengetahui perihalku, kini beritahu kepadaku, siapakah kamu ini?." dan mereka menjawab: "Kami adalah manusia dari Arab."

Kemudian dajjal mula bertanya kepada mereka: "Beritahu kepadaku mengenai kurma Baisan." Mereka menjawab: "Sesungguhnya kurma itu hampir tidak akan berbuah."

Lalu si dajjal bertanya lagi: "Beritahu kepadaku tentang Tasik Thabaniyyah. Apakah tasik itu masih berair?." Jawab mereka: "Ya tasik itu masih banyak airnya. Sesungguhnya air tasik itu hampir habis."

Si dajjal berkata lagi: "Beritahu kepadaku tentang mata air Zughar." Jawab mereka: "Apa yang engkau hendak tanyakan? Apakah mata air itu masih memancarkan air? Dan apakah penduduknya masih bercucuk tanam dari mata air itu?" Dan jawab dajjal:

"Ya, mata air itu masih memancarkan banyak air dan penduduknya masih bercucuk tanam dari air berkenaan,"

Kata dajjal: "Terangkan kepadaku tentang nabi yang diutus kepada orang ramai adalah buta huruf, apa yang dilakukannya? Dia telah keluar dari Makkah menuju ke Yathrib." Apakah orang Arab memeranginya?, "Ya" jawab mereka,

Soal dajjal lagi: "Bagaimana caranya dia memperlakukan mereka? Dia telah menundukkan orang Arab terdekatnya. Adakah demikian?". Mereka menjawab: "Lebih baik bagi mereka untuk mengikutnya.”

Lalu dajjal berkata: "Aku akan memberitahu kepada kamu mengenai diriku. Aku ini adalah al-Masih. Aku hampir diizinkan keluar, maka aku akan keluar. Lalu aku akan berjalan di muka bumi. Aku tidak melalui sesuatu kampung melainkan aku tinggal selama 40 malam kecuali kota Makkah dan Thaibah (Madinah). Kedua kota itu diharamkan atasku. Setiap kali aku memasuki salah satu kota itu, aku dihadang malaikat yang memegang pedang untuk memenggalku. Di setiap celah kedua kota itu dijaga oleh malaikat."

Sesungguhnya cerita Tamim Ad-Dari ini diceritakan oleh Fatimah daripada Rasulullah SAW. (Riwayat Muslim)

Lalu Nabi Muhammad SAW bersabda: "Sesunguhnya cerita Tamim itu sesuai dengan apa yang telah aku sampaikan kepada kamu juga mengenai kota Makkah dan Madinah. Ketahuilah sesungguhnya dajjal itu berada di laut Syam atau di laut Yaman, bukan dari arah Timur, bukan dari arah Timur, bukan dari arah Timur." (Riwayat Muslim)


Fitnah dajjal

Zaman dajjal adalah zaman fitnah yang besar, ramai orang yang beriman pada pagi hari kemudian pada petangnya menjadi kafir. Hal ini menunjukkan betapa hebat godaan dan fitnah dajjal melanda kita.

Pada saat itu, kita yang kuat iman kepada ALLAH berasakan menjaga keimanan tersebut seperti menggenggam bara api yang panas dan sangat berat.

Maka ramailah yang melarikan diri ke hutan dan gunung untuk menjaga diri, akidah dan iman mereka daripada godaan dan fitnah dajjal. "Saat itu manusia benar-benar melarikan diri dari dajjal ke arah gunung. (Riwayat Muslim)

Semasa kedatangan dajjal manusia lebih memilih untuk lari menyelamatkan diri daripada menghadapinya kerana dikhuatiri diri tidak mampu menjaga akidah dan keimanan terhadap ALLAH. Kerana dajjal akan menganiaya mereka yang ingkar kepadanya.


Surah al-Kahfi

Daripada Abu Darda’, sesunguhnya Nabi Muhammad SAW bersabda: "Sesiapa yang menghafal sepuluh ayat daripada Surah al-Khafi, pasti terlindung daripada dajjal." (Riwayat Muslim)

Adapun untuk menyelamatkan diri daripada fitnah dajjal adalah menetapkan kesabaran dan membaca sepuluh ayat pertama daripada Surah al-Khafi.

"Sesiapa antara kamu (yang hidup sampai) mendapati dajjal, hendaklah dibaca permulaannya Surah Al-Kahfi." (Riwayat Muslim)


Dajjal ujian ALLAH

Seluruh peristiwa yang menyalahi adat yang dilakukan dajjal itu bukan kerana kuasa dajjal. Melainkan kerana kekuasaan dan kehendak ALLAH untuk menguji kekuatan iman hamba-Nya.

ALLAH menciptakan dajjal sebagai makhluk penggoda dan menyesatkan umat yang beriman. Jika umat-Nya benar-benar teguh imannya, dia tidak mudah goyah akidahnya walaupun dirinya disakiti, dianiaya, difitnah bahkan dibunuh. Dia tetap teguh dengan keimanan dan ketaatannya kepada ALLAH SWT.

Segala kemampuan yang dimiliki oleh dajjal itu bersifat istidraj, bukan mukjizat atau bukan karamah. Kerana jelas dajjal itu adalah kafir yang menyesatkan, bukan nabi dan bukan orang yang soleh.

Akan tetapi semua itu terjadi kerana ALLAH. Kesudahannya, lelaki yang bernama dajjal itu ditewaskan dengan turunnya Nabi Isa AS dan membunuhnya.


Benteng fitnah dajjal

Nabi Muhammad SAW mengingatkan  umat Islam agar berwaspada dengan godaan dan fitnah dajjal di akhir zaman kelak. Antaranya:

- Memohon pertolongan daripada ALLAH SWT dengan perbanyakkan doa pelindung daripada fitnah dajjal ketika tasyahhadud akhir dalam solat.
- Menghafal sepuluh ayat pertama Surah al-Kahfi. Hendaklah menjauhkan diri daripada dajjal dan tidak sengaja mendekatinya. Hendaklah dia berusaha bermukim di Makkah dan Madinah.


DR FATHUL BARI MAT JAHYA - SINAR HARIAN 14/11/14
iframe allowTransparency='true' expr:src='"http://www.facebook.com/plugins/like.php?href="/ + data:post.url + "&layout=standard&show-faces=true&width=530&height=60&action=like&colorscheme=light"' frameborder='0' scrolling='no' style='border:none; overflow:hidden; width:530px; height:60px'/>

" I want to touch a dog " - Sedikit Pencerahan

Anjing berhak hidup aman di bumi Allah dan haram hukumnya dizalimi. Adalah pendidikan yang salah jika kepada anak-anak ditanam budaya "jika jumpa anjing hendaklah dibaling dengan kayu atau batu". Apa salahnya anjing sampai diperlakukan demikian ? Bukankah dia juga makhluk Allah yang berhak hidup dengan aman, kecuali jika anjing itu jahat dan cuba menggigit.

Namun demikian, Islam telah menetapkan beberapa ketentuan yang berkaitan dengan anjing berbeza dengan binatang lain. Selaku umat Islam yang bermazhab Ahlus Sunnah Wal Jamaah, yang rujukan utamanya adalah Al-Quran dan Al-Sunnah dan juga rujukan tambahannya Ijma' dan Qiyas, maka kita mempunyai pegangan tersendiri dalam bab anjing ini. Walaupun para Fuqaha' berbeza pendapat dalam beberapa issu, namun Malaysia yang berpegang kepada Mazhab Syafi'i dalam bab Fekah juga perlu diambil kira.

Dalam Al-Quran disebut beberapa kali berkaitan dengan faedah anjing. Khidmat anjing boleh dipergunakan untuk berburu dan tangkapannya boleh dimakan. Hadis juga tidak melarang menggunakan khidmatnya untuk mengawal ternakan dan tanaman atau sebagai penjaga kawasan dari penceroboh atau mengesan penjenayah dan menghidu barangan larangan seperti dadah.

Tetapi jika dilihat dari sisi lain, sungguh banyak isyarat di dalam hadis-hadis Nabi SAW yang sahih tentang bahaya yang bakal menimpa agama seseorang jika bermesra dengan anjing. Ia bukan binatang untuk dibelai seperti kucing. Di antara isyarat-isyarat itu adalah :

Air liur anjing adalah najis berat (mughallazah) mesti disuci dengan tujuh kali siraman yang pertama dengan air bercampur tanah ; Malaikat tidak akan masuk rumah yang di dalamnya ada anjing ; Anjing hitam pekat adalah syaitan ; Siapa memelihara anjing tanpa sebab yang dibenarkan, maka setiap hari pahala amalanya akan dikurangi oleh Allah satu qirat yakni sebesar Bukit Uhud ; Semua hadis ini dapat dipertanggungjawapkan kesahihannya.

Adapun jika bahaya memeluk anjing ditinjau dari sudut sains pula, ini jawapannya : Sebanyak 79.7 % penderita barah payudara ternyata sering berdampingan dengan anjing, seperti memeluk, mencium, menggendong, memandikan dan semua aktibiti perawatan anjing. Statistik pengidap kanser di Norway adalah 53.3 % daripada 14,401 pemilik anjing. Ternyata kanser pada anjing dan manusia adalah disebabkan oleh virus yang sama iaitu MTV (Mammary Tumor Virus) - Dinukil dari makalah dalam internet - Wallahu 'Alam.

Kesimpulan : Para sahabat sungguh patuh dengan panduan Nabi SAW walaupun ketika itu tiada penemuan para saintis seperti hari ini tentang bahaya anjing. Umat Islam yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya yakin setiap ketetapan agama pasti ada rahasianya. Oleh itu, mereka pasti akan menjauhi anjing, bukan justeru mendekatinya malahan bangga dapat memeluknya. Hukum Islam jangan ditetapkan semata-mata dengan akal, logita atau rasional. Inilah ciri-ciri utama Mazhab Mu'tazilah yang hari ini lebih dikenal dengan istilah Liberalisma, Pluralisma atau Golongan Anti Hadis. Na'uudzu Billahi Min Dzaalik.

Oleh = Dr Abdullah Yasin


iframe allowTransparency='true' expr:src='"http://www.facebook.com/plugins/like.php?href="/ + data:post.url + "&layout=standard&show-faces=true&width=530&height=60&action=like&colorscheme=light"' frameborder='0' scrolling='no' style='border:none; overflow:hidden; width:530px; height:60px'/>

Jumaat, 17 Oktober 2014

POLEMIK ANJING : SATU PERBINCANGAN FIQH

Isu berkenaan menyentuh anjing, pernah didebatkan pada tahun 1940 bertempat di kelantan. khabarnya, ia melibatkan tokoh ulama terkemuka tanah melayu ketika itu, seperti Haji Wan Musa yang merupakan mufti Kelantan ketika itu, Qadhi besar Singapura yang dihadiri Raja Kelantan ketika itu, Sultan Ibrahim. Selepas perbincangan tersebut, mereka bergambar dengan disertakan seekor anjing bersama.
Perbincangan tentang anjing, dianggap agak sensitive di kalangan umat islam di Malaysia, walhal jika dibaca dalam al-Quran, factor anjing pernah diceritakan dalam beberapa bentuk. Antaranya adalah, diceritakan tentang anjing dalam kerangka kisah Ashab al-Kahfi.
Firman Allah;
وَتَحْسَبُهُمْ أَيْقَاظًا وَهُمْ رُقُودٌ وَنُقَلِّبُهُمْ ذَاتَ الْيَمِينِ وَذَاتَ الشِّمَالِ وَكَلْبُهُمْ بَاسِطٌ ذِرَاعَيْهِ بِالْوَصِيدِ لَوِ اطَّلَعْتَ عَلَيْهِمْ لَوَلَّيْتَ مِنْهُمْ فِرَارًا وَلَمُلِئْتَ مِنْهُمْ رُعْبًا
Maksudnya; “Dan engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri; sedang anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua; jika engkau melihat mereka, tentulah engkau akan berpaling melarikan diri dari mereka, dan tentulah engkau akan merasa sepenuh-penuh gerun takut kepada mereka” (Surah al-Kahf, ayat 18)

Dan firman Allah dalam surah yang sama;
سَيَقُولُونَ ثَلَاثَةٌ رَابِعُهُمْ كَلْبُهُمْ وَيَقُولُونَ خَمْسَةٌ سَادِسُهُمْ كَلْبُهُمْ رَجْمًا بِالْغَيْبِ وَيَقُولُونَ سَبْعَةٌ وَثَامِنُهُمْ كَلْبُهُمْ قُلْ رَبِّي أَعْلَمُ بِعِدَّتِهِمْ مَا يَعْلَمُهُمْ إِلَّا قَلِيلٌ فَلَا تُمَارِ فِيهِمْ إِلَّا مِرَاءً ظَاهِرًا وَلَا تَسْتَفْتِ فِيهِمْ مِنْهُمْ أَحَدًا
Maksudnya; “(Sebahagian dari) mereka akan berkata: “Bilangan Ashaabul Kahfi itu tiga orang, yang keempatnya ialah anjing mereka “; dan setengahnya pula berkata:”Bilangan mereka lima orang, yang keenamnya ialah anjing mereka” – secara meraba-raba dalam gelap akan sesuatu yang tidak diketahui; dan setengahnya yang lain berkata: “Bilangan mereka tujuh orang, dan yang kedelapannya ialah anjing mereka”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Tuhanku lebih mengetahui akan bilangan mereka, tiada yang mengetahui bilangannya melainkan sedikit”. Oleh itu, janganlah engkau berbahas dengan sesiapapun mengenai mereka melainkan dengan bahasan (secara sederhana) yang nyata (keterangannya di dalam Al-Quran), dan janganlah engkau meminta penjelasan mengenai hal mereka kepada seseorangpun dari golongan (yang membincangkannya). (Surah al-Kahf, ayat 22)
Dalam al-Quran juga, factor anjing diceritakan tentang perburuan. Iaitu firman Allah;
يَسْأَلُونَكَ مَاذَا أُحِلَّ لَهُمْ قُلْ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ وَمَا عَلَّمْتُمْ مِنَ الْجَوَارِحِ مُكَلِّبِينَ تُعَلِّمُونَهُنَّ مِمَّا عَلَّمَكُمُ اللَّهُ فَكُلُوا مِمَّا أَمْسَكْنَ عَلَيْكُمْ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ سَرِيعُ الْحِسَابِ
Maksudnya; “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): “Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?” Bagi menjawabnya katakanlah: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik, dan (buruan yang ditangkap oleh) binatang-binatang pemburu yang telah kamu ajar (untuk berburu) mengikut cara pelatih-pelatih binatang pemburu. Kamu mengajar serta melatihnya (adab peraturan berburu) sebagaimana yang telah diajarkan Allah kepada kamu. Oleh itu makanlah dari apa yang mereka tangkap untuk kamu dan sebutlah nama Allah atasnya (ketika kamu melepaskannya berburu); dan bertaqwalah kepada Allah (dengan memelihara diri dari memakan yang diharamkan Allah); Sesungguhnya Allah Maha Cepat hitungan hisabNya” (Surah al-Maidah, ayat 4)
Dalam hadis juga, ada dipamerkan tentang seorang pelaku dosa besar boleh diampunkan dosa oleh Allah disebabkan memberi minum kepada anjing. Iaitu hadis, daripada
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ؛ أَنَّ رَسُولَ اللهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ: «بَيْنَمَا رَجُلٌ يَمْشِي بِطَرِيقٍ إِذِ اشْتَدَّ عَلَيْهِ الْعَطَشُ، فَوَجَدَ بِئْراً. فَنَزَلَ فِيهَا ، فَشَرِبَ، وَخَرَجَ. فَإِذَا كَلْبٌ يَلْهَثُ. يَأْكُلُ الثَّرَى مِنَ الْعَطَشِ. فَقَالَ الرَّجُلُ: لَقَدْ بَلَغَ هذَا الْكَلْبَ مِنَ الْعَطَشِ مِثْلُ الَّذِي بَلَغَ مِنِّي. فَنَزَلَ الْبِئْرَ فَمَلأَ خُفَّهُ. ثُمَّ أَمْسَكَهُ بِفِيهِ حَتَّى رَقِيَ فَسَقَى الْكَلْبَ. فَشَكَرَ اللهُ لَهُ فَغَفَرَ لَهُ
Maksudnya; “Daripada Abu Hurairah, Sesungguhnya Rasulullah saw berkata, ketika seorang lelaki berjalan di satu laluan, dia merasa kehausan, lalu dia dapati ada sebuah telaga. Dia masuk ke dalamnya, minum air dan keluar. Dia ternampak seekor anjing tercungap-cingap dan menjilat tanah lembab ekoran kehausan. Lelaki itu berkata, sesungguhnya anjing ini sampai kehausan sepertimana aku kehausan tadi. Lalu, lelaki itu turun ke dalam telaga dan mengisi air pada kasutnya sehingga penuh, kemudian dia mengigit kasutnya itu dengan mulutnya hingga dia panjat telaga tersebut lalu memberi minum kepada anjing tersebut. Allah swt berterima kasih kepadanya dan mengampunkan dosanya“ (Muwatta’, : hadis no, 3435, جَامِعُ مَا جَاءَ فِي الطَّعَامِ وَالشَّرَابِ)
Dari ini, kita akan dapati bahawa dari sudut pandang al-Quran dan Hadis, perbincangan tentang anjing bukan perkara yang sentisitif. Namun, dianggap sensitive di kalangan orang melayu.
Tidak diketahui, apa penyebab perasaan sensitive ini sebegini berlaku. Mungkin terlalu terikat dengan penekanan terhadap mazhab Syafie yang rata-ratanya menyatakan hukum anjing adalah najis mughalazah (najis berat), menjadikan ia dianggap cukup jijik dan amat sensitive.
MENYENTUH ANJING
Perbincangan pertama adalah menyentuh anjing. Dari sudut pengajian usul al-fiqh, sesuatu perkara itu tidak boleh dijatuhkan hukum haram selama tiada nas yang saheh dan sareh (jelas) menyatakan pengharamannya. Kewujudan nas yang saheh, tetapi tidak sareh (tidak jelas) pun tidak boleh menjadikan sesuatu itu haram, seperti hadis yang menyatakan larangan ma’azif yang diterjemah sebagai muzik. Tidak dinafikan, hadis itu riwayat al-Bukhari, sudah pasti ia saheh, tetapi kalimah Ma’azif yang ada dalam hadis itu tidak sareh. Makanya, menafsirkannya sebagai bermaksud muzik, lalu diharamkan muzik adalah tidak tepat. (Sila lihat perbahasan panjang lebar di sini :
http://g-82.blogspot.com/2012/01/muzik-satu-kupasan.html)
Tidak pernah terdapat satu nas yang saheh dan jelas menyatakan larangan terhadap memegang anjing. Ekoran itu, ia tidak boleh dinyatakan sebagai hukum haram. Ini kerana, dalam fiqh islam, sesuatu yang mahu dikatakan haram, hendaklah dari sumber nas (al-Quran atau al-hadis) yang saheh dan sareh (jelas). Dalam kes muzik, dalam keadaan wujud hadis yang saheh pun, tidak boleh nak dikatakan muzik haram kerana hadis itu tidak sareh. Inikan pula dalam hukum menyentuh anjing, yang tiada satu nas yang saheh dan sareh menyatakan larangan tersebut.
BASUH APABILA KENA ANJING
Terdapat kekhilafan fiqh tentang status kenajisan anjing. Dalam mazhab al-Syafie, anjing dikira sebagai najis. Dengan maksud, apabila menyentuh anjing, maka wajar dibasuh dengan tujuh kali basuh, dan salah satunya dengan air tanah.
Kata al-Imam al-nawawi;
وفيه وجوب غسل نجاسة ولوغ الكلب سبع مرات
Maksudnya; “Padanya, wajib basuh najis jilatan anjing sebanyak tujuh kali”
Sambung beliau lagi;
واعلم أنه لا فرق عندنا بين ولوغ الكلب وغيره من أجزائه فإذا أصاب بوله أو روثه أو دمه أو عرقه أو شعره أو لعابه أو عضو من أعضائه شيئا طاهرا في حال رطوبة أحدهما وجب غسله سبع مرات إحداهن بالتراب
Maksudnya; “Ketahuilah, tidak ada perbedaan di kalangan kami antara jilatan anjing dengan selainnya; daripada anggota-anggota anjing. Apabila kena kencingnya, taiknya, darahnya, peluhnya, bulunya, air liurnya atau satu satu anggota dari anggota badannya yang bersih ketika ia sedang basing, maka wajib basuhnya tujuh kali basuh, dan salah satu daripadanya adalah tanah ”
Dalam mazhab Hanafi, air liur anjing adalah najis. Abu Fadhal al-Hanafi menyatakan;
وَأَمَّا الْكَلْبُ فَلِأَنَّ النَّبِيَّ - عَلَيْهِ الصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ - أَمَرَ بِغَسْلِ الْإِنَاءِ مِنْ وُلُوغِهِ ثَلَاثًا، وَفِي رِوَايَةٍ سَبْعًا
Maksudnya; “Adapun anjing, maka sesungguhnya Nabi saw menyuruh membasuh bekas dari jilatannya (anjing) sebanyak tiga kali. Dalam satu riwayat, tujuh kali”
Adapun badan anjing, pendapat yang kuat dalam mazhab hanafi, ia tidak dikira sebagai najis. Seorang Ulama dalam Mazhab hanafi bernama Badr al-Din al-‘Aini berkata;
ثم اختلف أصحابنا في الكلب، هل هو نجس العين كالخنزير أو لا، والأصح أنه ليس بنجس العين كذا في " البدائع "، وفي " الإيضاح "
Maksudnya; “Kemudian, telah ikhtilah di kalangan kami (ulama mazhab hanafi) berkenaan anjing, apakah ia najis pada ain (dirinya) seperti babi atau tidak. Pendapat yang paling saheh, ia tidak najis ain, sepertimana tersebut dalam kitab al-Badaie dan kitab al-Idah ”
Dalam mazhab maliki pula, Abu Umar al-Namiri al-Qurtubi menyatakan;
دَلَّ ذَلِكَ عَلَى أَنَّ الْكَلْبَ لَيْسَ بِنَجِسٍ وَأَنَّهُ لَا نَجَاسَةَ فِي عَيْنِهِ لِأَنَّهُ مِنَ الطَّوَّافِينَ عَلَيْنَا وَمَا أُبِيحَ لَنَا اتِّخَاذُهُ لِلصَّيْدِ وَالزَّرْعِ وَالْمَاشِيَةِ فَيُقَاسُهُ الْهِرُّ وَإِذَا صَحَّ هَذَا صَحَّ أَنَّ الْأَمْرَ بِغَسْلِ الْإِنَاءِ مِنْ وُلُوغِهِ سَبْعًا عِبَادَةٌ لَا لِنَجَاسَةٍ
Maksudnya; “Ini menjadi dalil bahawa anjing bukan najis, iaitu ia bukan najis pada ain (diri anjing itu), kerana ia dari kalangan binatang yang selalu berlegar di kalangan kita. Dan ia diharuskan untuk kita menjadikannya binatang buruan, menjaga tumbuh-tumbuhan dan di bawa berjalan, maka ia dikiaskan dengan kucing. Apabila sah perkara ini, sesungguhnya suruhan basuh bekas dari jilatan anjing tujuh kali itu sekadar ibadat (untuk mendapatkan pahala sahaja : sunat) sahaja, bukan kerana ia bernajis ”
Di tempat yang lain, beliau menyatakan;
فَجُمْلَةُ مَذْهَبِ مَالِكٍ عِنْدَ أَصْحَابِهِ الْيَوْمَ أَنَّ الْكَلْبَ طَاهِرٌ وَأَنَّ الْإِنَاءَ يُغْسَلُ مِنْهُ سَبْعًا عِبَادَةً
Maksudnya; “Sejumlah mazhab Malik di sisi pandangan ulama-ulama dalam mazhab itu pada hari ini bahawa anjing adalah suci dan bekas yang dibasuh dengan tujuh kali basuh itu adalah sekadar ibadat (sunat)”
Dari perbincangan ini, dapat disimpulkan bahawa dalam mazhab Syafie, semua perkara yang berkaitan dengan anjing dikira sebagai najis. Makanya, wajib dibasuh tujuh kali basuh dan salah satunya dengan air tanah. Dalam mazhab Hanafi pula, air liur dikira sebagai najis, sedangkan badan anjing berlaku kekhilafan di kalangan ulama dalam mazhab hanafi. Namun, pendapat yang paling kuat dalam mazhab itu, badan anjing tidak dikira sebagai najis. Berbeda dengan mazhab Maliki yang menganggap bahawa badan dan air liur anjing tidak dikira sebagai najis. Suruhan basuh dengan tujuh kali basuh dalam hadis, pada mereka ia adalah suruhan yang sunat, bukan wajib.
Kekhilafan ini bermuarakan kepada hadis bahawa nabi saw ada berkata;
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «إِذَا وَلَغَ الْكَلْبُ فِي إِنَاءِ أَحَدِكُمْ فَلْيُرِقْهُ ثُمَّ لِيَغْسِلْهُ سَبْعَ مِرَارٍ
Maksudnya; “Daripada Abu Hurairah berkata, bersabda Rasulullah saw, apabila anjing menjilat bekas seseorang kamu, maka alirkan air padanya kemudian basuhnya sebanyak tujuh kali basuh” (Muslim, Bab hukum jilatan anjing, hadis no : 279)
Kekhilafan itu kerana, dalam mazhab Syafie, mereka mengamalkan metode Fahw al-Khitab. Pada mereka, jika air liur anjing pun sudah wajib di basuh, sudah pasti kewajipan itu lebih lagi dilakukan jika terkena pada badan anjing. Dalam mazhab hanafi pula, mereka melihat kepada zahir hadis yang mempamerkan jilatan sahaja. Menandakan, kenajisan itu berlaku pada air liur sahaja, tidak pada badannya. Namun, dalam mazhab Maliki, mereka meletakkan tanggapan bahawa mensucikan najis itu, cukup sekadar hilangkan tiga perkara; bau, rasa dan warna. Untuk menghilangkan tiga perkara ini, tidak semestinya dengan tujuh kali basuh, malahan dengan sekali atau dua kali basuh pun, kadangkala sudah tercapai maksud bersihkan najis. Makanya, mereka meletakkan tanggapan bahawa hukum membasuh itu sunat sahaja.
BELA ANJING
Dalam hadis, dipamerkan keizinan membela anjing pada tujuan beburu dan penjagaan. Antara hadis itu adalah;
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «مَنِ اقْتَنَى كَلْبًا إِلَّا كَلْبًا ضَارِيًا أَوْ كَلْبَ مَاشِيَةٍ، نَقَصَ مِنْ عَمَلِهِ كُلَّ يَوْمٍ قِيرَاطَانِ»

Maksudnya; “Daripada Abdullah bin Umar, sesungguhnya Rasulullah saw bersabda, “barangsiapa yang membela anjing kecuali anjing buas (dibuat beburu) atau anjing yang dibawa jalan-jalan, mengurangkan daripada amalnnya pada setiap hari dua qirat” (muwatta’, bab Menyatakan berkaitan dengan anjing, hadis no : 13)
Dalam hadis yang lain pula;
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «مَنْ أَمْسَكَ كَلْبًا، فَإِنَّهُ يَنْقُصُ كُلَّ يَوْمٍ مِنْ عَمَلِهِ قِيرَاطٌ، إِلَّا كَلْبَ حَرْثٍ أَوْ مَاشِيَةٍ»
Maksudnya; “barangsiapa yang bela anjing, maka sesungguhnya mengurangi pada setiap hari dari amalannya satu qirat, kecuali anjing untuk pengawasan atau anjing yang dibawa berjalan-jalan” (al-Bukhari, bab membela anjing untuk kerja pembajakan, hadis no : 2322)
Dari hadis-hadis ini, sepakat ulama menyatakan keizinan membela anjing dengan tujuan untuk perburuan dan penjagaan dan dibawa bersiar-siar dan berjalan-jalan. Namun, selain dari tujuan-tujuan ini, berlaku kekhilafan di kalangan ulama. Ada ulama yang menyatakan haram, seperti al-Imam al-Nawawi, dan ada pula menyatakan makruh sahaja, seperti pendapat ibn Abd al-Bar.
Kata Al-Imam al-Nawawi dalam Syarh Muslim;
وقد اتفق أصحابنا وغيرهم على أنه يحرم اقتناء الكلب لغير حاجة مثل أن يقتني كلبا إعجابا بصورته أو للمفاخرة به فهذا حرام بلا خلاف وأما الحاجة التي يجوز الاقتناء لها فقد ورد هذا الحديث بالترخيص لأحد ثلاثة أشياء وهي الزرع والماشية والصيد وهذا جائز بلا خلاف
Maksudnya; “Telah sepakat kalangan kami (ulama mazhab syafie) dan selainnya (selain ulama dalam mazhab syafie) bahawa haram membela anjing tanpa keperluan, sepertimana membela anjing kerana berbangga dengan bentuknya atau kerana untuk membesar diri dengannya, maka ia adalah haram tanpa khilaf. Adapun kerana ada keperluan yang mengharuskann membelanya, sesungguhnya telah datang hadis tetang keizinan pada salah satu dari tiga perkara, iaitu bertanaman, berjalan-jalan dan berburu. Ia adalah harus, tanpa khilaf lagi ”
Di sana ada pendapat menyatakan, membela anjing selain tujuan berburu dan selain tujuan penjagaan adalah tidak haram, sebaliknya sekadar makruh sahaja. Ia di dokong oleh Ibn Abd al-Bar. Beliau menyatakan;
وَفِي مَعْنَى هَذَا الْحَدِيثِ تَدْخُلُ عِنْدِي إِبَاحَةُ اقْتِنَاءِ الْكِلَابِ لِلْمَنَافِعِ كُلِّهَا وَدَفْعِ الْمَضَارِّ إِذَا احْتَاجَ الْإِنْسَانُ إِلَى ذَلِكَ إِلَّا أَنَّهُ مَكْرُوهٌ اقْتِنَاؤُهَا فِي غَيْرِ الْوُجُوهِ الْمَذْكُورَةِ فِي هَذِهِ الْآثَارِ لِنُقْصَانِ أَجْرِ مُقْتَنِيهَا
Maksudnya; “Pada makna hadis ini, di sisi aku, masuk keharusan membela anjing bagi semua manfaat dan menolak sebarang mudharat, apabila manusia perlu kepada itu, kecuali ia adalah makruh membelanya pada selain pada perkara yang disebutkan pada athar-athar ini disebabkan kekurangan pahala kepada pembelanya ”
Kekhilafan ini berlaku, kerana beberapa sebab, iaitu;
Pertama, hadis yang menyatakan larangan itu masih dalam kerangka zanni al-Dilalah, bukan hukum qatie. Ia tidak sama seperti pengharaman zina dan haram makan daging babi.
Ini dapat dilihat pada lafaz “kekurangan pahala dengan satu qirat (dalam riwayat lain disebut dengan dua qirat)” itu masih punyai pelbagai tafsiran. Pada Imam al-nawawi, ia memberi maksud bahawa adalah haram. Namun, pada Ibn Abd al-Bar, beliau tidak melihat kekurangan pahala itu sebagai hukum haram, sebaliknya ia masih dibenarkan lagi, tetapi sekadar makruh. Ini kerana, melakukan tindakan yang boleh mengurangkan pahala, tidak semestinya memberi maksud haram, seperti seseorang yang tidak menunaikan solat sunat, seseorang yang makan makanan yang berbau busuk dan banyak lagi.
Kedua, apabila sesuatu hadis itu berada dalam kerangka zanni, sudah pasti ia sesuatu larangan itu punyai sebab. Ekoran itu, ada sebilangan ulama berkhilaf tentang sebab larangan tersebut, seperti yang disenaraikan oleh Ibn Hajar al-Asqalani. Sebilangan ulama menyatakan, larangan itu mencegah malaikat masuk dalam rumah, sebilangan lain menyatakan bahawa ia boleh mengganggu jiran tetangga, sebilangan yang lain menyatakan bahawa sebilangan anjing itu adalah syaitan, setengah yang lain menyatakan bahawa kebiasaan anjing di dalam rumah akan memungkinkan jilatan anjing itu terkena pada bekas makanan dan sebagainya.
Jika larangan itu menjadi haram, ekoran malaikat tidak masuk rumah, sudah pasti memasukkan TV dan gambar juga dikira sebagai haram. Ini kerana, dalam hadis ada mempamerkan bahawa dengan kewujudan gambar dalam rumah, malaikat juga tidak masuk ke dalam rumah. Dalam hadis, daripada Abi Talhah al-Ansari;
سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: « إن الْمَلَائِكَةُ لَا تَدْخُلُ بَيْتًا فِيهِ كَلْبٌ وَلَا صُورَةٌ تماثيل»
Maksudnya; “aku dengar Rasulullah saw bersabda, Sesungguhnya malaikat tidak masuk dalam rumah yang padanya ada anjing dan gambar” (Musnad Ahmad, Bab Hadis Abi Talhah, hadis no : 16369)
Jika dikatakan larangan itu kerana ia boleh menggangu jiran tetangga, sudah pasti larangan itu bukan hukum lizatih, iaitu keharaman pada membela anjing, tetapi larangan itu pada factor lighairih, iaitu berfaktorkan kebisingan. Dengan maksud, jika tidak membawa kepada bising, atau duduk dalam rumah yang punyai halangan suara dari sampai ke rumah orang lain, maka ia tidak menjadi haram.
Jika dikatakan larangan itu kerana sebilangan anjing adalah syaitan, maka sudah pasti wujud ada anjing yang tidak syaitan. Ini kerana, definisi syaitan adalah setiap yang jahat tidak kira ia dari kalangan mana pun.
Al-Imam al-Tabari menyatakan;
والشيطان، كل متمرِّد من الجن والإنس والدوابِّ وكل شيء
Maksudnya; “Setiap yang jahat dari kalangan jin, manusia, binatang dan semua perkara ”
Perkara ini dikukuhkan dengan beberapa firman Allah swt, antaranya seperti Allah menyatakan ada syaitan dari kalangan manusia dan jin, iaitu Firman Allah;
وَكَذَلِكَ جَعَلْنَا لِكُلِّ نَبِيٍّ عَدُوًّا شَيَاطِينَ الْإِنْسِ وَالْجِنِّ
Maksudnya; “Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari Syaitan-syaitan manusia dan jin” (Surah al-An’am, ayat 112)
Dan firman Allah;
مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ
Maksudnya; “(Syaitan al-Khannas itu) dari kalangan jin dan manusia” (Surah al-Nas, ayat 6)
Dan jika dikatakan bahawa kewujudan anjing dalam rumah akan menyusahkan untuk mengelak dari jilatan anjing yang kadangkala melibatkan bekas makanan. Sudah pasti, kelihatan larangan itu berfaktorkan sad al-Zaraie. Hukum dari sudut sad al-Zaraie, asalnya adalah dibenarkan. Tetapi, jika dapat mengelak dari berlaku perkara yang dilarang, maka kembali kepada hukum asal, iaitu harus. Ia dimisalkan seperti keizinan menjual anggur, tetapi dilarang secara sad al-Zaraie, jika dijualkan kepada pembuat arak. Maka begitujuga dalam hal berkaitan larangan membela anjing pada selain tiga factor yang disebutkan dalam hadis.
Dari penjelasan ini, tidak hairan fatwa Ibn Abd al-Bar tidak meletakkan ia sebagai haram, sebaliknya sekadar makruh sahaja.
PENUTUP
Dari penjelasan ini, kelihatan bahawa perkara yang berkaitan dengan anjing adalah perkara yang tidak sewajarnya disensitivekan oleh masyarakat melayu. Namun, kekurangan dalam penghayatan fiqh yang bersifat luas ini, menjadikan kejumudan itu pula dilihat seperti kebaikan, sedangkan keluasan itu seperti kejahatan, sedangkan sifat Islam itu sendiri melebihi keluasan dari pandangan yang dapat melihat keluasan alam ini.
Moga-moga tulisan serba ringkas ini dapat memberi penjelasan kepada pembaca tentang polimik anjing ini dari sudut yang lebih luas, sepertimana keluasan fiqh yang ditekan dalam Islam.
Wallahu ‘Alam..

Oleh : Wan Ji bin Wan Hussin
FB : Ustaz Wan ji.




iframe allowTransparency='true' expr:src='"http://www.facebook.com/plugins/like.php?href="/ + data:post.url + "&layout=standard&show-faces=true&width=530&height=60&action=like&colorscheme=light"' frameborder='0' scrolling='no' style='border:none; overflow:hidden; width:530px; height:60px'/>

Isnin, 13 Oktober 2014

"Hidden" Riba

RIBA merupakan satu ancaman di dalam dunia ekonomi islam. Ia mendapat tentangan hebat daripada agama Islam kerana wujudnya salah laku dan penindasan dalam ekonomi.

Kebiasaanya, RIBA terjadi pada transaksi hutang yang mempunyai "bunga"  atau interest yang diambil sebagai keuntungan bagi pinjaman tersebut. Perkara seperti ini telah diketahui umum kerana terdapat penindasan yang jelas dalam pinjaman tersebut. Namun, beberapa cabang riba masih lagi "tersembunyi" di celah-celahan ilmu tanpa medapat tempat di dada masyarakat.

Emas merupakan suatu barangan ribawi yang tanpa disangka terdapat beberapa hukum jual beli berbeza dengan barangan lain. Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 2011 telah menggariskan beberapa parameter jual beli emas untuk panduan kepada masyarakat. 

Maklumat Lengkap : http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/parameter-pelaburan-emas

Salah satu syarat yang tidak disedari adalah pembelian emas secara tertangguh (ansuran) kerana telah melanggar syarat "Lani" yang telah digariskan oleh Islam.


Petikan daipada Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 2011.

Syarat Kedua: Secara Lani

15. Transaksi jual beli emas hendaklah berlaku secara lani dan tidak boleh dimasuki sebarang unsur penangguhan, samada dalam penyerahan harga atau dalam penyerahan emas.
16. Penangguhan penyerahan harga yang tidak dibenarkan adalah meliputi pembelian secara hutang secara keseluruhannya atau pembelian secara bayaran ansuran.
17. Kelewatan penyerahan emas yang melebihi tempoh tiga hari selepas akad jual beli dimeterai adalah tidak dibenarkan sama sekali.
Manakala bagi kelewatan penyerahan emas dalam tempoh kurang daripada tiga hari, Muzakarah mengambil maklum bahawa terdapat perbezaan pandangan ulama di dalam hal ini. Namun Muzakarah lebih cenderung untuk mengambil pakai pendapat yang tidak membenarkan berlakunya kelewatan walaupun tempohnya kurang daripada tiga hari. Dengan kata lain, penyerahan emas mestilah di lakukan di dalam majlis akad tanpa ada penangguhan. Ini adalah kerana di dalam urusniaga emas, kelewatan tiga hari bukanlah suatu uruf, berbeza dengan isu tukaran matawang asing.
Di dalam pertukaran mata wang asing, tempoh T+2 diperlukan kerana ianya melalui proses tertentu yang melibatkan tempoh masa bekerja yang berbeza antara negara, perpindahan wang elektronik, clearing housedan lain-lain lagi. Proses-proses yang disebutkan ini tidak terdapat di dalam perniagaan jual beli emas fizikal. Maka adalah tidak tepat untuk membuat qiyas ke atas proses pertukaran matawang asing.
Namun secara praktikal, pihak penjual akan menyerahkan emas selepas amaun bayaran yang dibuat melalui cek dan sebagainya dikreditkan ke dalam akaunnya. Proses ini biasanya akan mengambil masa tiga hari bekerja. Di dalam menangani tempoh antara penyerahan cek dan penerimaan emas, maka pihak penjual dan pembeli bolehlah mengambil pakai aturan berikut:
Pihak pembeli akan hanya membuat pesanan (order) kepada penjual dengan dinyatakan jenis dan berat emas yang ingin dibelinya. Pesanan ini akan disertai dengan pengiriman wang ke akaun penjual. Pada tahap ini, perkara berikut perlu diberi perhatian:
i. Pada peringkat ini, akad jual beli emas masih belum berlaku.

ii. Wang yang berada di dalam akaun penjual masih lagi bukan milik penjual tersebut. Ianya masih milik pembeli dan disimpan sebagai amanah oleh penjual. Di dalam hal ini, adalah lebih baik jika satu akaun khas yang bersifat amanah (trust account) dibuka oleh penjual.

iii. Emas masih lagi kekal menjadi milik penjual dan ia bertanggungjawab penuh ke atas emas milikannya itu.

iv. Di dalam peringkat ini, pembeli masih boleh membatalkan pesanan yang dibuat dan penjual hendaklah memulangkan wang kepada pembeli. Namun, jika berlaku kerugian sebenar disebabkan pembatalan tersebut, bolehlah dibuat syarat bahawa ia perlu ditanggung oleh pembeli. Contohnya, pembeli membuat pesanan 100gm emas 999 dengan harga RM20,000. Ketika ini, pihak penjual telah menyimpan emas tersebut dan tidak menjualkannya kepada pihak lain yang telah bersedia untuk membelinya. Selepas tiga hari, apabila penjual bersedia untuk membuat akad jual beli dan seterusnya menyerahkan emas tersebut kepada pembeli, pembeli membatalkan pesanannya. Pada hari tersebut harga emas telah jatuh kepada RM19,000. Dengan kata lain, penjual akan kerugian RM1,000 jika menjualnya kepada pihak lain. Di dalam hal ini, kerugian sebenar adalah sebanyak RM1000.
Apabila wang pesanan sudah diberi clearance oleh bank, maka akad jual beli perlu dilakukan. Wang di dalam trust account (jika ada) bolehlah dipindahkan ke akaun penjual dan emas hendaklah diserahkan kepada pembeli.



Oleh itu, masyarakat hendaklah lebih berhati-hati dalam menjalankan aktiviti jual-beli emas atau "manipulasi emas.

iframe allowTransparency='true' expr:src='"http://www.facebook.com/plugins/like.php?href="/ + data:post.url + "&layout=standard&show-faces=true&width=530&height=60&action=like&colorscheme=light"' frameborder='0' scrolling='no' style='border:none; overflow:hidden; width:530px; height:60px'/>